fb fb fb fb fb

KPDN alu-alukan Jualan Rahmah secara 'mobile'

PEKAN, 16 April - Pemain industri termasuk rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dialu-alukan untuk bersama melaksana Jualan Rahmah secara bergerak atau 'mobile' terutama melibatkan kawasan kampung termasuk luar bandar.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata inisiatif Mobile Jualan Rahmah antara pelaksanaan yang dirangka untuk memudahkan masyarakat mendapatkan potongan diskaun barangan keperluan dapur setiap hari.

Menurut beliau, ketika ini Jualan Rahmah di premis dan luar premis mendapat sambutan positif namun bagi penduduk luar bandar yang tidak mempunyai rangkaian pasaraya terutama rakan strategik KPDN di kawasan masing-masing, agak sukar untuk mendapatkan potongan harga yang ditawarkan.

"Mobile ini kita lihat adalah perlu bagi kawasan yang tak ada supermarket atau hypermarket, jadi bila tak ada hypermarket dan supermarket kita kena buat macam ini, premis di luar, yang ini dia ada implikasi logistik ya, kita tak boleh buat selalu mungkin kita buat sebulan dua kali tapi kalau ada mobile, ia boleh hari-hari," kata beliau kepada Berita RTM selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Pahang di Chini, di sini hari ini.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh ditemu bual 
Berita RTM selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Pahang)  

Turut hadir Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Program berkenaan dilaksanakan selama dua hari secara serentak di 14 kawasan Parlimen Negeri Pahang, bermula hari ini.

Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 3,223 lokasi yang merangkumi 118 kawasan parlimen di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM54 juta.

Daripada jumlah berkenaan, Pahang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM579,000 melibatkan 14 lokasi seluruh negeri tersebut.

Media Baharu