fb fb fb fb fb

KPDN akan tubuh satu sekretariat tangani isu kos sara hidup

PUTRAJAYA, 22 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan satu sekretariat tetap bersama Kementerian Ekonomi dalam menangani semua isu berkaitan kos sara hidup.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sekretariat tersebut akan menumpukan usaha untuk mewujudkan satu pelan bertindak yang lebih konprehensif dalam menangani isu tersebut yang kini menjadi fokus utama kerajaan perpaduan.


(Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Sekretariat tersebut juga akan mengadakan sesi libat urus dengan 11 kementerian lain yang terlibat dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Dalam menangani isu kos sara hidup, pihaknya tidak boleh bekerja bersendirian dan perlu bekerjasama dengan semua pihak agar pelan bertindak strategik itu dapat benar-benar dijayakan

"Kita telah setuju untuk bersetuju untuk mewujudkan sekreteriat tetap dua kementerian ini KPDN dan ekonomi yang akan pada bila-bila masa boleh mengadakan mesyuarat pertemuan engagement seminar, bengkel dan seumpamanya supaya kita dapat untuk bergerak ke hadapan dengan lebih efisyen," katanya di sini.

Sekretariat tetap tersebut akan diketuai oleh ketua Setiausaha kedua-dua kementerian selain melibatkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Beliau ditemui media selepas menerima sumbangan satu tan barang makanan asas daripada Syarikat Tamin bagi membantu mangsa banjir di Putrajaya.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Tamin Sdn Bhd, Abdul Talib Abdul Rahman yang akan diserahkan kepada pihak Program Food Bank Malaysia dibawah kelolaan KPDN untuk kegunaan mangsa banjir di lima buah negeri.

Media Baharu