PUTRAJAYA, 23 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan isu produk makanan dari Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama JAKIM selepas arahan penarikan balik beberapa produk dari pasaran tempatan dikeluarkan, berikutan keputusan ujian yang mengesahkan kehadiran DNA babi.
"JAKIM telah mengeluarkan kenyataan bahawa logo halal yang terlibat merupakan logo yang dikeluarkan oleh badan pensijilan halal di Indonesia yang diiktiraf oleh Malaysia.
“Jadi, sebaik sahaja maklumat tersebut diterima, kami segera mengadakan perbincangan dengan JAKIM bagi memastikan produk-produk terbabit dikeluarkan serta-merta daripada pasaran,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN, di sini hari ini.
Terdahulu, JAKIM telah mengarahkan agar semua pengimport menarik balik produk makanan dari Indonesia yang disahkan mengandungi DNA babi, daripada pasaran Malaysia.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan pengumuman rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada Isnin lalu, mengenai penarikan balik produk tersebut.