fb fb fb fb fb

Kos haji tahun 2022 bergantung kepada kuota jemaah diluluskan Arab Saudi

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Kerajaan masih menunggu keputusan Arab Saudi berhubung kos sebenar ibadah haji yang perlu dibayar oleh jemaah tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kos tersebut akan diketahui setelah Kementerian Haji Dan Umrah Arab Saudi mengadakan mesyuarat lanjut bagi memutuskan jumlah kuota jemaah setiap negara.

"Kita faham bahawa pihak Arab Saudi tahun ini Cukai Nilai Ditambah (VAT) naik daripada 5% kepada 15% dan juga bilik hotelnya dulu boleh duduk enam hingga tujuh orang kali dan kali ini dengan SOP COVID-19 ini mungkin kurang (untuk menginap), itu semua kita ambil kira, walaubagaimanapun kita nak pastikan situasi menang-menang itu ada," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Perdana Program Mobiliti Tabung Haji (TH), di sini.

Sebelum ini, Malaysia mendapat kuota 30,000 jemaah haji setiap tahun.

Selain itu, bantuan kewangan haji tahun ini tetap akan diteruskan namun jumlahnya bergantung kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini kerana dijangka berlaku kenaikan kos.

Idris turut memaklumkan sistem penggiliran jemaah haji akan dikekalkan dengan memberi keutamaan kepada jemaah tahun 2020 dan 2021 yang tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, TH menyalurkan sumbangan bantuan berupa 25 buah van serbaguna bernilai RM2.3 juta kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih seluruh negara menerusi program Mobiliti TH.

Ia merupakan salah satu program Zakat TH bagi kemudahan pengangkutan komuniti, pertubuhan amal kebajikan dan masjid.

 

Media Baharu