fb fb fb fb fb

Purata isi rumah menurun, Malaysia dijangka berstatus negara menua 2030



SHAH ALAM, 14 Februari- Pertumbuhan penduduk tahunan dan purata isi rumah (IR) persendirian di Malaysia adalah pada kadar 1.7 peratus setahun berbanding 2.2 peratus pada tahun 2020.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, ia menunjukkan penurunan dalam tempoh 10 tahun berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020.

"Kadar pertumbuhan penduduk menunjukkan penurunan, yang ada kaitan dengan tahap kesuburan dan bilangan anak.

"Satu IR sekarang terdiri daripada emak, ayah dan tidak sampai dua orang pun (anak). Kadar pertambahan penduduk semakin berkurangan dengan purata bilangan anak satu keluarga hanya ada 3.8 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini.

Berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 berkenaan, Selangor mencatat jumlah penduduk tertinggi iaitu 6.9 juta orang iaitu 21.6 peratus.

Sementara Johor merupakan negeri kedua dengan jumlah penduduk 4.0 juta orang atau 12.4 peratus manakala Sabah berjumlah 3.4 juta orang atau 10.5 peratus.

Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan jumlah penduduk terendah iaitu 95.1 ribu atau 0.3 peratus dan Perlis sebanyak 284.9 ribu atau 0.9 peratus.

Pada sidang media sama, Mustapa berkata, peratusan rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas akan melebihi 10 peratus menjelang 2030.

"Negara perlu bersiap sedia dalam penggubalan dasar, pelaburan dalam kesihatan, pendidikan dan perumahan bagi menghadapi status negara menua menjelang 2030 iaitu 10.3 peratus adalah warga emas 60 tahun ke atas dan 6.8 peratus adalah 65 tahun ke atas," katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada tahun 2020, populasi berusia 60 tahun dan ke atas meningkat daripada 3.4 juta (2019) kepada 3.5 juta yang mewakili 10 peratus daripada jumlah penduduk.

Media Baharu