fb fb fb fb fb

Kos bina rumah PPRS dinaikkan kepada RM79,000 seunit

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

ALOR GAJAH, 7 November-Kerajaan menaikkan kadar bantuan membina rumah baharu dan baik pulih kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kos pembinaan rumah berkenaan dinaikkan kepada RM79,000 berbanding RM66,000 di Semenanjung manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, kos meningkat kepada RM85,000 berbanding RM79,000.

Tambah beliau, keluasan rumah berkenaan turut ditambah daripada 660 kepada 680 kaki bersegi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Dengan Exco-Exco Luar Bandar Bil.2/2024 (MEXCLUB) di sini.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan KKDW sedang meneliti cadangan penubuhan tadika pendidikan khas di setiap daerah seluruh negara. 

Menurutnya, cadangan berkenaan diterima daripada ahli mesyuarat yang mencadangkan pembinaan sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika) pendidikan khas yang khusus bagi kanak-kanak autisme dibina di setiap daerah.

"Kita tidak boleh laksanakan serta- merta cadangan berkenaan kerana kita perlu mendapat peruntukkan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

"Jadi, ini adalah permintaan mereka dan kita akan lakukan tindakan susulan", katanya demikian di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD