fb fb fb fb fb

Korban nahas di Chukai meningkat kepada enam orang

(Enam individu termasuk dua bayi maut dalam kemalangan melibatkan
dua kereta di Jalan Jerangau-Jabor pada Isnin)

CHUKAI, 25 April- Dua lagi maut dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat sini semalam yang telah mengorbankan empat orang, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban dalam tragedi 3 Syawal itu kepada enam orang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitandan Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut adalah empat penumpang di dalam kereta Proton Persona yang pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23, Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2, Tuan Yah Dollah, 61, dan Rosliza Mat Hussin, 38.

Katanya, pemandu kereta tersebut Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11, Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil, 15, dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan, 2, mengalami kecederaan.

“Manakala di dalam kereta Proton Persona kedua pula mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71, dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2.

"Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26, dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Hanyan berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.00 petang itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh dekat sini, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Situasi tersebut menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing dekat sini menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan.

“Empat mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.

“Mayat semua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

(Dua kenderaan yang terlibat dalam nahas di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor
di Cheneh, Chukai, Terengganu pada Isnin)

 

Media Baharu