(Khaidirah Abu Zahar)
JASIN, 25 April- Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan industri Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri itu sebagai hub terbesar di Malaysia.
Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan TVET, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, hasrat itu dirangka setelah melihat perkembangan industri tersebut di Melaka yang turut didominasi anak muda.
Katanya, stigma TVET hanya untuk mereka yang tidak berminat untuk belajar perlu dihapuskan memandangkan industri berkenaan turut menumpukan pada pendidikan.
"Jadi, jangan menganggap ia (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua. TVET tidak pernah dianggap begitu dalam mana-mana kluster pendidikan.
"Saya percaya pendidikan TVET ini diberikan peranan yang paling utama daripada mana-mana kluster pendidikan kerana kita hendak lihat, yang paling penting dapat menghasilkan tenaga kerja yang lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Timbalan Exco di Dewan Alamanda, di sini, malam tadi.
Hadir sama memeriahkan sambutan rumah terbuka itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Rauf Yusoh.
(Khaidirah Abu Zahar (kiri) di Rumah Terbuka Timbalan Exco
di Dewan Alamanda, Jasin)