BENTONG, 23 Februari - Koperasi kariah masjid dan surau di negara ini disarankan supaya mengubah strategi perniagaan dengan menumpukan sektor pengeluaran dan perniagaan barangan halal berskala besar yang kompetitif untuk jaminan kemudahan pengguna khususnya orang Islam.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga ini sebanyak 511 buah masjid dan surau telah menubuhkan koperasi masing-masing.
Jumlah tersebut masih lagi kecil memandangkan Malaysia mempunyai 6,300 buah masjid dan 13,000 buah surau.
"Angkasa menyasarkan sebanyak 10,000 koperasi kariah masjid dan surau ditubuhkan dalam tempoh beberapa tahun ini untuk melebarkan perniagaan barangan halal selain membantu penduduk memperoleh barang makanan yang lebih murah.
"Perkara ini tidak mustahil apabila koperasi kariah masjid dan surau perlu mengamalkan konsep 'jamaah', iaitu berkolaborasi dengan semua koperasi dan peruncit Bumpitera di tempat masing-masing untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran barangan halal, katanya selepas merasmikan Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) Koperasi Kariah Masjid Tengku Sulaiman, Ketari di sini, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) turut menyarankan koperasi kariah masjid perlu meluaskan ruang lingkup perniagaan dengan melibatkan sektor peruncitan barangan halal dan pertanian untuk menangani kekurangan bahan makanan utama seperti ayam, telur dan barang tertentu selain mengurangkan tekanan kenaikan harga yang dimanipulasikan oleh pemborong atau kartel.
Justeru, katanya, koperasi kariah masjid dengan kerjasama kalangan peruncit dan pengusaha Bumiputera boleh menjadi pengeluar, pemborong dan pemasar barangan halal termasuk produk berasaskan pertanian.