fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut nahas enam kenderaan di Lebuhraya Persekutuan

 

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut membabitkan enam kenderaan di Lebuhraya Persekutuan, semalam supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan, seorang penunggang motosikal maut dalam nahas itu membabitkan enam kenderaan di kilometer 15.7 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang pada Selasa.

Katanya, dalam kejadian pukul 7.40 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun tidak menggunakan lorong motosikal telah melanggar bahagian belakang sebuah Proton Iriz sebelum terbabas.

"Ketika kejadian Proton Iriz berada di lorong paling kanan lebuh raya berkenaan dipercayai cuba menukar lorong ke kiri untuk mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapan yang membrek secara mengejut.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal jenis Yamaha Y150 terjatuh dan dilanggar oleh kereta jenis Honda City yang datang dari belakang.

"Pelanggaran berkenaan menyebabkan Honda City itu terbabas dan terlanggar dua buah kereta lain jenis Mercedes dan Toyota Vios yang berada di hadapan menyebabkan kenderaan itu tertolak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Myvi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kelima-lima pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, penunggang motosikal yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Katanya, sehubungan itu polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

"Saksi kejadian boleh tampil ke balai polis atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Media Baharu