fb fb fb fb fb

Konvoi Semarak Kasih Merdeka , platform bangkitkan semangat patriotisme

Foto RTM

PENDANG, 25 Ogos-Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengadakan Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA 2024 bagi menyemarak dan membangkitkan semangat kemerdekaan dikalangan masyarakat luar bandar khususnya warga desa KEDA.

Program berkenaan diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata konvoi berkenaan merupakan salah satu usaha KEDA dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini melalui pelancaran Bulan Semarak Kasih Merdeka KEDA Tahun 2024 pada 19 Ogos lalu.
 
Konvoi tersebut disertai 49 penunggang motosikal melibatkan kakitangan KEDA yang merupakan ahli KEDA Bikers serta jemputan luar dari agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan badan bukan kerajaan, NGO.
 
Peserta konvoi akan menjelajah ke empat desa KEDA iaitu Desa KEDA Tanjung Setol, Pendang; Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, Kuala Muda; Desa KEDA Nagalilit, Kulim; dan Desa KEDA Sungai Kecil Ilir, Bandar Baharu.

Kesemua desa KEDA yang dikunjungi merupakan desa yang menyertai pencalonan Anugerah Desa KEDA Madani 2024.

"Program ini berkisarkan untuk kita melahirkan generasi muda terutama dikalangan anak-anak muda di kampung desa KEDA ini supaya menghayati dan juga mensyukuri nikmat tentang kemerdekaan yang telah kita kecapi 67 tahun.Dengan erti kemerdekaan ini kita dapat membebaskan diri kita daripada belenggu kemiskinan.

"Jadi saya nak semua penduduk desa KEDA ini sentiasa ada kemahuan untuk mengubah nasib diri dan juga keluarga dan nasib masyarakat kampung itu sendiri", katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA Tahun 2024 di Desa KEDA Tanjung Setol di sini.

Selain konvoi, rumah-rumah penduduk Desa KEDA juga turut dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera Negeri Kedah.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD