(Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bergambar kenangan bersama penerima bantuan)
BATU PAHAT, 12 Februari- Konvoi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP Insani, Misi Bantuan Banjir bakal diteruskan ke Pahang, bagi membantu penduduk terjejas negeri berkenaan.
Ia selepas misi bantuan di Johor melibatkan daerah Batu Pahat dan Kluang, selesai hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, konvoi yang akan digerakkan tidak lama lagi turut melibatkan nilai bantuan kira-kira RM1.5 juta.
"Sebagaimana saya pesan dengan agensi-agensi agama ni, kita sentiasa cakna, sebelum ini kita lancarkan konvoi ke pantai timur, apabila selesai di sana berlaku pula banjir di sini (Johor), begitu juga di Sabah, kita juga bantu banjir di Sabah," katanya.
Beliau ditemui selepas selesai serahan bantuan banjir kepada penduduk terjejas di Seri Medan, Batu Pahat.
Konvoi yang disertai sebanyak 23 buah kenderaan membawa 75 peserta dan 600 unit sumbangan dalam bentuk barangan keperluan serta peralatan pembersihan berjumlah RM250,000.
Manakala Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyediakan set peralatan sekolah dan barangan makanan.
Secara keseluruhan, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan MAIWP bagi membantu penduduk terjejas banjir di Batu Pahat dan Kluang.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar)