fb fb fb fb fb

Cetak sejuta al-Quran agih ke seluruh dunia, JAKIM mula langkah awal

PUTRAJAYA, 12 Februari - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan perbincangan di peringkat awal bagi menentukan ahli jawatankuasa khas yang akan terlibat dalam usaha Malaysia mencetak sejuta al-Quran untuk diagihkan ke seluruh dunia.

Ini bagi memenuhi hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tindak balas mengutuk insiden melampau pembakaran naskhah al-Quran di Sweden.

Setakat ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, persediaan oleh JAKIM adalah masih di peringkat awal kerana pelbagai proses perlu diteliti dan diatur dengan baik sebelum mengatur langkah seterusnya.

 
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

"Kita telah bentuk jawatankuasa khas yang diketuai oleh JAKIM, ini arahan kepada JAKIM untuk menyelaraskan semua isu-isu berkaitan dengan kutipan dana, percetakan, dan juga agihan sejuta quran tersebut, jadi ini masih lagi di peringkat awal dan pihak JAKIM pun saya percaya telah memulakan usaha-usaha penyelarasan tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, selain sebagai tindak balas terhadap insiden itu, pengedaran al-Quran ini mampu memberi peluang kepada masyarakat dunia menghayati kandungan al-Quran memandangkan ia akan diterbitkan tafsirannya dalam pelbagai terjemahan bahasa.

"Kita berhasrat untuk memulakan percetakan ini apabila selesai perbincangan di peringkat jawatankuasa khas yang dibentuk khusus untuk percetakan al-Quran ini kerana dia banyak proses yang terpaksa dilalui beberapa proses yang terpaksa dilalui, tapi kita akan cuba usahakan untuk memastikan kesegeraan dalam proses percetakan seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri untuk menyegerakan proses percetakan ini bagi tjuan edaran ke seluruh dunia insya-Allah," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said.

Ahli jawatankuasa khas yang turut terlibat antaranya ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan juga Kementerian Kewangan serta syarikat -syarikat yang berkaitan dengan percetakan.

Namun, tarikh mula proses percetakan dan pengedaran sejuta al-Quran ini masih belum ditentukan memandangkan ianya perlu melalui pelbagai peringkat perlaksanaan.

Sememangnya untuk mencetak sejuta naskah al-Quran komitmennya bukan calang-calang. Pelbagai proses bakal dilalui bagi merealisasikan hasrat ini, namun JAKIM komited menerusi jawatankuasa yang dilantik untuk menyegerakan inisiatif ini selari dengan solidariti Malaysia dalam mengekang islamofobia.

Laporan Alisa Yusra, JAKIM untuk RTM.

Media Baharu