KUALA LUMPUR, 1 Jun- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan kontrak Profesor Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu tamat berkuat kuasa hari ini.
FINAS dalam kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.
Penstrukturan ini akan membabitkan penjajaran semula atau 'recalibration' ke atas dasar, program dan aktiviti industri kreatif terutamanya industri perfileman.
Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi.
Kenyataan itu menyebut, dalam tempoh interim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) FINAS, Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO berkuat kuasa hari ini, hingga jawatan berkenaan diisi.
FINAS merakamkan ucapan penghargaan kepada Md Nasir atas sumbangannya sejak menduduki jawatan CEO perbadanan itu pada 1 November 2021.
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) atau sekarang Kementerian Komunikasi dan Digital mengumumkan pelantikan Profesor Dr Md. Nasir sebagai CEO baharu FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2021 sehingga 30 Oktober depan.
Pelantikan Dr Md Nasir bagi menggantikan bekas CEO FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugas berkuat kuasa 15 Oktober 2021.