KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Usaha kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal menunjukkan hasil positif apabila kadar defisit berjaya diturunkan secara konsisten setiap tahun, daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 4.1 peratus pada 2024.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pengurangan defisit itu turut membawa kepada penurunan pinjaman baharu kerajaan daripada RM99.4 bilion pada tahun 2022 kepada RM92.6 bilion pada tahun 2023, dan seterusnya RM76.8 bilion pada tahun 2024, mencatatkan penjimatan melebihi RM20 bilion dalam tempoh dua tahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/BERNAMA
“Kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baharu termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang. Antara usaha yang diambil ialah: Pertama, meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur; Kedua, memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan.
"Ketiga, mengoptimumkan perbelanjaan awam; Keempat, memastikan pinjaman kerajaan digunakan semata-mata bagi membiayai perbelanjaan pembangunan yang memberi pulangan kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang dan akhir sekali, melaksanakan strategi pinjaman yang mengutamakan sumber pasaran domestik bagi meminimumkan pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Pada masa sama, Lim menjelaskan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dengan pendapat tanpa teguran (unmodified opinion), sekali gus mengesahkan bahawa penyata kewangan tersebut adalah benar dan saksama (true and fair view) selaras dengan piawaian perakaunan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan direkodkan sebanyak RM1.3 trilion, masih berada di bawah had statutori hutang yang dibenarkan.
