fb fb fb fb fb

Sistem ramalan cuaca baharu dijangka siap 2027

Foto hiasan/RTM

KOTA BHARU, 8 Oktober - Sistem ramalan cuaca numerikal baharu yang membolehkan ramalan cuaca dikeluarkan lebih pantas dan tepat sehingga 14 hari sedang dibangunkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan dijangka siap pada 2027.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang berkata, sistem yang menggunakan superkomputer berkelajuan enam petaflops itu bakal ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam, Kulim, Kedah.

"Penggunaan sistem ramalan cuaca yang turut disokong teknologi kecerdasan buatan itu merupakan penambahbaikan berbanding 7 hari sebelum ini.

"Tempoh tujuh hari sangat singkat. Apabila kita dapat panjangkan kepada 14 hari, maka NADMA dan agensi strategik terlibat pengurusan bencana atau banjir ini mempunyai lebih masa untuk membuat kesiapsiagaan. Apa yang lebih penting adalah untuk memberi amaran kepada penduduk terlibat," jelasnya pada Forum Iklim Kebangsaan 2025 'Amaran Awal, Tindakan Bersama' di sini.

Beliau turut memberitahu yang sistem ramalan cuaca baharu itu boleh diakses dari ibu pejabat meskipun ia ditempatkan di Kulim.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN