fb fb fb fb fb

Konsert 'The Symphony of Friendship 2.0' lambang kerjasama kukuh Malaysia–Singapura

The Purple Symphony Orchestra dari Singapura dan Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) bergabung tenaga pada konsert The Symphony of Friendship 2.0 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP)/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Dewan Filharmonik Orkestra KLCC bagi menyaksikan Konsert The Symphony of Friendship 2.0, malam tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Konsert anjuran kali kedua itu hasil kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Temasek selepas edisi pertama yang diadakan pada 2023 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.

Edisi tahun ini menampilkan seramai 200 pemuzik dari The Purple Symphony Orchestra dari Singapura dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bergabung menjayakan konsert tersebut dengan bimbingan Pengarah Artistik, Quek Ling Kiong.

Persembahan inklusif itu menampilkan penyanyi hebat tanah air seperti Jaclyn Victor, Nadeera dan Suki Low.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishamuddin Abdul Rahim, konsert bertemakan The Symphony of Friendship itu menyaksikan gabungan luar biasa pemuzik termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

"Misi kami di Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor adalah untuk membina jambatan antara komuniti melalui pendidikan dan seni. Kami percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat dan berkembang sebagai warganegara global.

“Kami amat terinspirasi oleh The Purple Symphony dan komitmen mereka terhadap inklusiviti. Ia mengingatkan kita bahawa muzik, seperti kehidupan, akan lebih harmoni apabila setiap orang diberi ruang," katanya.

Kerjasama istimewa berkenaan tercetus pada Julai tahun lalu apabila dua pemuzik The Purple Symphony membuat persembahan sempena lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Temasek Shophouse di Singapura.

Keindahan persembahan tersebut mendorong Seri Paduka Baginda menjemput orkestra berkenaan untuk membuat persembahan buat julung kalinya di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House pada 2023, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan seni dan kebudayaan antara Johor dan Singapura.

Hadir sama pada konsert itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation, Ng Boon Heong dan 
Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat Central Singapore merangkap Penasihat The Purple Symphony, Denise Phua.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI