ISKANDAR PUTERI, 20 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merekodkan sebanyak 66,825 aduan berkaitan konflik antara manusia dan hidupan liar di seluruh negara dalam tempoh empat tahun lalu. Konflik yang berlaku itu melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM46.5 juta.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Johor merupakan antara negeri paling terkesan, apabila merekodkan 7,996 aduan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM6.88 juta dalam tempoh sama.
Menurut beliau, konflik yang dilaporkan membabitkan pelbagai spesies hidupan liar termasuk gajah, kera, babi hutan, harimau Malaya dan tapir. Namun begitu, kes yang melibatkan gajah diberi perhatian khusus kerana ancamannya terhadap harta benda dan keselamatan nyawa manusia.
Katanya, pendekatan yang lebih menyeluruh dan kerjasama antara semua pihak amat penting bagi menangani isu ini secara berkesan.
Tambah beliau, beberapa insiden yang tular akhir-akhir ini menunjukkan bahawa konflik manusia dengan hidupan liar semakin mendesak untuk ditangani, khususnya di negeri Johor.
"Kita perlukan tindakan bersepadu melibatkan semua pihak bagi menyelesaikan isu ini. Pendekatan yang lebih tuntas dan berkesan amat mendesak, terutamanya dengan pelbagai kes konflik manusia dan hidupan liar yang tular kebelakangan ini.
"Dalam kes gajah, ia melibatkan kerosakan harta benda serta ancaman terhadap nyawa manusia. Oleh itu, kita memberi tumpuan khusus kepada isu ini, yang kini menjadi antara masalah paling mendesak di Johor. Justeru, negeri ini mengambil inisiatif memfokuskan kepada konflik manusia dengan gajah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jawatankuasa Khas Konflik Manusia-Gajah dan Sesi Dialog bersama Menteri NRES di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini.
Bagi menangani isu ini, pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya termasuk penubuhan santuari gajah di Kota Tinggi, Johor, yang bertujuan menyediakan habitat selamat kepada spesies tersebut serta mengurangkan gangguan kepada kawasan penempatan dan pertanian penduduk.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman akibat Serangan Hidupan Liar dengan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu. Langkah ini diambil bagi meringankan beban mangsa yang mengalami kerosakan akibat serangan haiwan liar.
Dalam masa yang sama, pelan jangka pendek dan panjang turut dirangka melalui kerjasama dengan kerajaan negeri serta syarikat perladangan.
Antaranya termasuk usaha mewujudkan 21 pusat bekalan makanan atau ‘food bank’ untuk gajah, sebagai alternatif sumber makanan dan mengurangkan kebergantungan haiwan tersebut terhadap kawasan pertanian dan kampung.