PUTRAJAYA, 20 Mei – Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan berlaku di beberapa sekolah serta pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pengusaha pusat jagaan dan tadika disaran agar membuat pemeriksaan harian terhadap kanak-kanak semasa kemasukan bagi membantu membendung penularan jangkitan.
“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memantau kesihatan anak-anak. Langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan kerap, menggunakan tandas dengan bersih, serta memastikan peralatan permainan dibersihkan selepas digunakan amatlah penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Disfungsi Erektil di sini, hari ini.
Menurut Lukanisman, pemantauan rapi amat penting dalam mengawal penyebaran penyakit berjangkit seperti HFMD, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada jangkitan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan kenyataan rasmi pada 12 Mei lalu, yang merangkumi data terkini penularan HFMD serta langkah-langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan di peringkat komuniti.