KOTA TINGGI, 8 Mei- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus memantau perkembangan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalani kursus di India dan Pakistan, susulan konflik di kedua-dua negara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, 18 warga ATM menjalani kursus di India manakala tiga lagi di Pakistan.
Kesemua pegawai dan anggota terlibat, berada dalam keadaan selamat, dan tidak berada dalam lokasi konflik.
"Mereka terlibat dalam pelbagai kursus-kursus. Sebahagian besar akan habis pada tahun ini. Jadi, ketika ini semua masih dalam keadaan selamat tetapi kita akan terus pantau," kata Datuk Seri Mohamed Khaled, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Peluncuran Projek JanaVeteran Boustead Plantations, di sini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohamed Khaled mengesahkan tiada kemalangan jiwa berlaku, susulan insiden pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tergelincir di Pangkalan Udara Kepala Batas, Kedah, pada kelmarin.
TUDM telah menjalankan siasatan berhubung insiden itu, bagi memastikan keselamatan pesawat-pesawat.