fb fb fb fb fb

Konflik empat dekad berakhir: Armenia dan Azerbaijan capai perdamaian

Pemandangan umum menunjukkan Stepanakert, sebuah bandar yang kebanyakannya dihuni oleh etnik Armenia, dilihat dari bandar Shusha yang dikuasai Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh. / Foto REUTERS

TBILISI/BAKU, 14 Mac – Para pegawai dari Armenia dan Azerbaijan mengumumkan pada Khamis bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenai teks perjanjian damai untuk menamatkan hampir empat dekad konflik antara kedua-dua negara di wilayah Kaukasus Selatan.

Perkembangan tersebut merupakan kejayaan yang mengejutkan dalam proses damai yang selama ini sering tertangguh dan penuh ketegangan.

Kedua-dua negara pasca-Soviet itu telah terlibat dalam beberapa siri peperangan sejak akhir 1980-an, apabila wilayah Nagorno-Karabakh yang ketika itu didiami majoriti etnik Armenia memisahkan diri dari Azerbaijan dengan sokongan Armenia.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar Negeri Armenia menyatakan bahawa draf perjanjian damai dengan Azerbaijan telah dimuktamadkan.

"Perjanjian damai sudah sedia untuk ditandatangani. Republik Armenia bersedia untuk memulakan perbincangan dengan Republik Azerbaijan mengenai tarikh dan lokasi penandatanganan perjanjian ini," kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Azerbaijan turut mengesahkan perkembangan ini dengan menyatakan:

"Kami berpuas hati bahawa rundingan mengenai teks draf Perjanjian Damai dan Penubuhan Hubungan Antara Negara antara Azerbaijan dan Armenia telah selesai."

Namun, tarikh rasmi penandatanganan perjanjian masih belum ditetapkan. Azerbaijan menetapkan syarat bahawa Armenia perlu mengubah perlembagaannya sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Baku mendakwa bahawa perlembagaan Armenia secara tersirat masih membuat tuntutan terhadap wilayah Azerbaijan.

Armenia menafikan dakwaan itu, tetapi Perdana Menteri Nikol Pashinyan telah beberapa kali menyatakan dalam beberapa bulan kebelakangan ini bahawa perlembagaan negaranya perlu digantikan dan beliau telah mencadangkan satu referendum untuk melakukannya.

Namun, tarikh untuk referendum tersebut masih belum ditetapkan.

Agensi berita milik kerajaan Rusia, TASS, memetik kenyataan Pashinyan yang menyatakan bahawa perjanjian damai itu akan menghalang sebarang kehadiran pasukan luar di sempadan Armenia-Azerbaijan.

Ketetapan ini berkemungkinan merangkumi misi pemantauan awam Kesatuan Eropah yang sebelum ini dikritik oleh Azerbaijan, serta pasukan pengawal sempadan Rusia yang kini bertugas di beberapa bahagian sempadan Armenia.

Konflik antara kedua-dua negara bermula pada akhir 1980-an, yang mencetuskan pemindahan besar-besaran ratusan ribu orang, termasuk pembuangan etnik Azeri Muslim dari Armenia dan etnik Armenia yang majoritinya beragama Kristian dari Azerbaijan.

Rundingan damai semakin giat dijalankan selepas Azerbaijan menawan semula Nagorno-Karabakh pada September 2023. Serangan itu menyebabkan hampir keseluruhan 100,000 penduduk etnik Armenia di wilayah tersebut melarikan diri ke Armenia dan kini hidup sebagai pelarian.

Meskipun, kedua-dua negara menyatakan kesediaan mereka untuk menandatangani perjanjian bagi menamatkan konflik berkenaan, kemajuan ke arah penyelesaian masih perlahan dan hubungan antara mereka kekal tegang.

Sempadan sepanjang 1,000 km (621 batu) antara Armenia dan Azerbaijan masih ditutup dan dikawal ketat oleh angkatan tentera.

Pada Januari lalu, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, menuduh Armenia sebagai ancaman "fasis" yang perlu dimusnahkan, satu kenyataan yang dikritik oleh Perdana Menteri Armenia sebagai cubaan untuk menghalalkan konflik baharu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD