MASJID TANAH, 14 Mac - Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM400,000 sumbangan bantuan perayaan Aidilfitri kepada 2,000 penerima secara berperingkat di enam kawasan Parlimen di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia antara komitmen kerajaan negeri, khususnya kepada golongan kurang bernasib baik dalam meringankan beban kewangan mereka menjelang perayaan itu.
"Pemberian sumbangan ini akan dilakukan secara berperingkat melibatkan 2,000 penerima terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan berkeperluan. Jumlah penerima bergantung kepada lokaliti menerusi tapisan yang dilakukan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Perayaan Aidilfitri Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Belia dan Sukan Masjid Tanah di sini.
Turut hadir bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noodin.
"Kita akan terus prihatin menyantuni rakyat yang memerlukan perhatian terutama dalam menyambut Syawal. Harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat melegakan mereka dalam membuat persiapan hari raya.
"Saya melihat banyak orang yang memerlukan sumbangan ini termasuk ibu tunggal dan golongan berkeperluan. Kerajaan perpaduan di Melaka akan terus prihatin dan fokus utama kmai adalah memastikan kebajikan serta keperluan rakyat terus terjamin," katanya.
Terdahulu, sebanyak 359 penerima dari Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM71,800.