Konflik Asia Barat: Malaysia-Pakistan senada gesa gencatan senjata, kembali ke meja rundingan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menzahirkan kebimbangan ke atas situasi semakin memuncak di Asia Barat/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif senada bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik di Asia Barat perlu segera menghentikan serangan serta melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gesaan segera untuk menghentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.
  • Keperluan untuk kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan rantau.
  • Seruan menahan diri, gunakan dialog dan saluran diplomatik untuk penyelesaian aman.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan keperluan untuk kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau berkenaan.

Perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima panggilan telefon daripada Shehbaz petang tadi (Khamis) bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Asia Barat.

“Kami turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata tindakan itu disifatkan sebagai pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Pada masa sama, PM Shehbaz turut memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan serta berkongsi pandangan mengenai inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Beliau turut menggesa agar ketegangan tersebut ditangani melalui dialog serta saluran diplomatik.