Konflik Asia Barat: Cadangan pelan damai petanda baik wujudkan keamanan, kestabilan – PM

Cadangan pelan itu petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di rantau tersebut malah seluruh dunia. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pelan damai 10 perkara bagi menamatkan konflik Asia Barat yang dikemukakan Iran dan diterima secara positif oleh Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan pelan itu petanda baik bagi pemulihan keamanan dan kestabilan serantau serta global.
  • Rundingan mesti dijalankan dengan niat baik untuk mencapai perjanjian damai menyeluruh melibatkan Iran, Iraq, Lubnan dan Yaman.
  • Seruan supaya akses kemanusiaan tanpa halangan diberikan, serta menghentikan penindasan dan pelanggaran hak rakyat Palestin, khususnya Gaza.

Menurut beliau, cadangan pelan itu petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di rantau tersebut malah seluruh dunia.

“Diharapkan proses rundingan dijalankan dengan niat baik serta tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi rantau tersebut. Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pelan tersebut diterjemah kepada satu perjanjian damai menyeluruh, bukan sahaja melibatkan Iran, malah Iraq, Lubnan dan Yaman.

“Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pakistan serta Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat dan penuh keberanian sehingga tercapainya detik ini,” ujarnya lagi.

Kesediaan Pakistan berunding dengan semua pihak tanpa rasa takut atau berat sebelah disifatkan sebagai cerminan tradisi tertinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa.

Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapkan segala usaha dalam hal berkenaan.

“Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat perang ini.

“Semoga ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu menerima sebarang kemungkinan yang kurang daripada itu,” jelasnya.

Selain itu, kenyataan berkenaan menegaskan tanggungjawab semua pihak berkepentingan untuk memastikan berakhirnya penindasan serta pelanggaran hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza.