LONDON, 24 September- Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial yang ketiga dan terakhir akan berlangsung di London, esok.
Persidangan tersebut akan mengkaji isu-isu utama yang telah muncul daripada kes tuntutan Sulu di mana perintah mahkamah di Paris dan mahkamah rayuan The Hague telah memberi kemenangan kepada pihak Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, akan memberi ucaptama dalam persidangan satu hari berkenaan.
Persidangan dijangka akan membincangkan cabaran-cabaran bidang kuasa dalam timbang tara pelaburan, kesan tuntutan pelaburan terhadap negara-negara dan kedaulatan serta keutuhan wilayah mereka dan peranan pembiayaan pihak ketiga untuk mendapat keadilan.
Kolokium itu membawa bersama ilmu dan pengalaman rakan-rakan persidangan untuk menyampaikan penilaian akademik secara mendalam akan impak kes Sulu dan masa depan timbang tara antarabangsa yang melibatkan pelaburan asing dengan negara-negara berdaulat.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dijangka akan memberi ucapan penutup pada persidangan itu setibanya dari New York.
Kolokium diadakan di International Arbitration Resolution Centre dengan Kerjasama Asian International Arbitration Centre (AIAC), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, SOASĀ Arbitration and Dispute Resolution Centre (SADRC), serta kerajaan Malaysia.
(Foto FB Menteri)