fb fb fb fb fb

Kolam cucian pasir pecah punca pencemaran Lembangan Sungai Johor

pParas kekeruhan air meningkat sehingga 37,400 unit kekeruhan nephelometric (NTU), jauh melebihi paras normal sekitar 400 NTU

KOTA TINGGI, 1 November - Insiden pencemaran air mentah di Lembangan Sungai Johor yang dikesan semalam berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir darat apabila kolam cucian pasir milik syarikat terbabit pecah akibat pergerakan tanah.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata hasil pemantauan mendapati paras kekeruhan air meningkat sehingga 37,400 unit kekeruhan nephelometric (NTU), jauh melebihi paras normal sekitar 400 NTU.

Menurutnya, keadaan itu telah menjejaskan operasi di beberapa Loji Rawatan Air (LRA) termasuk Linggiu, Semangar, Sungai Johor dan PUB (Singapura), sekali gus berpotensi menyebabkan gangguan bekalan air di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.

“Sebagai langkah segera, pelepasan air dari Empangan Linggiu ditingkatkan dan bekalan air alternatif turut dihantar bagi mengurangkan kesan pencemaran serta memastikan bekalan air tidak terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE