fb fb fb fb fb

KMJG di Pahang bermula, Cameron Highlands destinasi baharu

rogram Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Pahang bermula hari ini dengan hentian pertama kembara di Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan

KUANTAN, 12 Ogos - Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Pahang bermula hari ini dengan hentian pertama kembara di Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan.

Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Rohani Chik, berkata konvoi KMJG kali ini memilih Cameron Highlands sebagai destinasi baharu dengan penglibatan komuniti orang asli sebagai kelainan.

"Kita rakyat negeri Pahang dalam pelbagai keadaan sekalipun sama ada di luar bandar ataupun bandar menyambut dengan rasa bangga bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan.

"KMJG bukan sahaja mengarak Jalur Gemilang, tetapi kita juga sebagai usaha menyemai semangat kecintaan kepada negara di samping kita semarakkan sambutan Hari Kebangsaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG) peringkat negeri Pahang di Kolej Komuniti Paya Besar di sini.

KMJG Pahang disertai pelbagai agensi termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ia melibatkan 100 peserta dengan lebih 40 kenderaan, termasuk 25 motosikal berkuasa tinggi yang akan merentasi lima daerah dalam tempoh tiga hari dengan jarak perjalanan sekitar 600 kilometer.

Penglibatan pelajar pula bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda sebagai bakal pemimpin negara.

Terdahulu, konvoi berkenaan menerima ketibaan pasukan dari Jabor, Terengganu sebelum bergerak ke Jerantut, Lipis, Cameron Highlands dan akan berakhir di Bentong.

Jalur Gemilang kemudiannya akan diserahkan kepada pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di R&R Genting Sempah pada 14 Ogos.

KMJG merupakan jelajah nasional yang bermula di Muar, Johor pada 27 Julai lalu dan akan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI