fb fb fb fb fb

KLScouts berpotensi jadi rakan strategik, perkukuh ekosistem sosial bandar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Lencana Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Kuala Lumpur di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Pergerakan Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLScouts) berpotensi menjadi rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem sosial bandar raya, khususnya melalui pelaksanaan dasar intervensi yang menyeluruh.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kekuatan jaringan serta pengalaman luas yang dimiliki Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) boleh dimanfaatkan secara sistematik, antaranya menerusi penglibatan dalam Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

"Saya melihat KLScouts boleh menjadi aset penting dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk dalam aspek pembentukan sahsiah, memupuk semangat khidmat bakti serta mendidik masyarakat tentang makna kepimpinan melalui tindakan," katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Lencana Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

"Kuala Lumpur merupakan medan ujian sebenar kepada nilai perpaduan dan kesatuan rakyat. Ia adalah gambaran kecil kepada Malaysia, sebuah bandar yang menempatkan pelbagai latar agama, bangsa dan budaya dengan kepelbagaian yang hadir bersama cabaran serta peluang," katanya lagi.

Menurut beliau, dengan keahlian melebihi 14,000 orang, KLScouts mempunyai kapasiti mobilisasi komuniti yang besar dan berpotensi memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kesejahteraan sosial warga kota.

Dalam pada itu, Dr Zaliha menjelaskan, aktiviti pengakap bukan hanya sekadar program kokurikulum biasa, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan sahsiah menyeluruh seorang individu.

Beliau berharap KLScouts dapat memainkan peranan lebih besar melibatkan dasar pembangunan sosial bandar secara holistik menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Lencana Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia di ibu negara, pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, seramai 43 orang menerima Sijil Pengakap Raja, enam individu menerima Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia, manakala 79 orang menerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, selain 100 individu turut menerima Sijil Wangsa Wilayah.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Pingat Peringatan 40 Tahun Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai simbol memperingati empat dekad penubuhan organisasi itu.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE