fb fb fb fb fb

P2HC perkasa industri halal

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Halal International (PHI), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid / Foto RTM

BAYAN LEPAS, 2 Ogos - Industri halal di Pulau Pinang terus diperkasa menerusi penganjuran Penang Halal & Heritage Carnival (P2HC) Edisi Laksa 2025 yang menjadi platform mempromosi kepentingan pensijilan halal khususnya dalam sektor makanan.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Halal International (PHI), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, program anjuran pihaknya akan diperluas ke lima daerah di negeri itu dengan mengetengahkan pelbagai jenis makanan halal mengikut kepelbagaian tempatan.

Menurut beliau, penganjuran tersebut bukan sekadar mengetengahkan juadah ikonik seperti laksa tetapi juga menjadi saluran untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

"Kita akan bergerak ke daerah-daerah lain di seluruh Pulau Pinang bagi mempromosikan industri halal, khususnya dalam sektor makanan seperti laksa. Penekanan diberikan kepada produk yang telah memperoleh SPHM termasuk laksa yang dibungkus dan dikeluarkan oleh pengilang yang memiliki sijil halal.

Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan PHI serta agensi-agensi berkaitan. Perbezaan utama karnival kali ini ialah tumpuannya untuk memperkenalkan laksa halal di peringkat negeri," katanya kepada media selepas merasmikan Penang Halal & Heritage Carnival (P2HC) Edisi Laksa di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Mohd Azraie Ramli.

Karnival yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan 11 gerai laksa dari seluruh negara termasuk laksa dari Singapura dan Indonesia.

Sebagai penghargaan, Sijil Penyertaan Jelajah Bimbingan Halal disampaikan kepada semua vendor yang menyertai Fiesta Laksa.

Antara pengisian menarik sepanjang karnival termasuk persembahan boria, 'busking', wayang kulit dan sesi bicara halal.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE