fb fb fb fb fb

BBC puji langkah strategik kerajaan, kurangkan tarif eksport ke AS

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah (tengah) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan kadar tarif terhadap beberapa eksport utama Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus disifatkan sebagai kejayaan besar hasil dasar diplomasi ekonomi strategik negara.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pengumuman rasmi tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai rakan dagang yang kukuh, selain membuktikan ketegasan kerajaan dalam mempertahankan kepentingan nasional di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Ia adalah hasil pendekatan diplomasi yang matang serta komitmen Malaysia mempertahankan dasar ekonomi dan sosial yang menjamin kestabilan serta pertumbuhan jangka panjang negara," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurutnya, langkah Washington bukan sahaja mengurangkan tekanan kos ke atas pengeksport tempatan, malah mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju dasar negara seperti Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara.

Katanya lagi, pengurangan tarif ini membuka ruang lebih luas kepada industri untuk bersaing di pasaran global dan mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan dunia.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) susulan usaha berterusan dalam memperjuangkan dasar perdagangan adil dan membina hubungan ekonomi yang konstruktif.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE