KUALA LUMPUR, 16 Oktober -Klinik Kesihatan Segambut dibuka semula hari ini dengan penambahbaikan kemudahan, termasuk sebuah ambulans dan mesin imbasan ultrasound, dalam usaha meningkatkan keupayaan diagnostik serta kecekapan tindak balas kecemasan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembukaan semula klinik ini menjadi simbol kesinambungan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang adil, berkualiti dan menyeluruh.
Beliau berkata, klinik kesihatan merupakan nadi kepada sistem kesihatan negara tempat utama rakyat mendapatkan rawatan awal, saringan kesihatan, serta bimbingan mengenai amalan gaya hidup sihat.
"Klinik Kesihatan Segambut kini tampil dengan kemudahan baharu, termasuk sebuah ambulans dan mesin imbasan ultrasound bagi meningkatkan keupayaan diagnostik serta tindak balas kecemasan, terutamanya untuk penjagaan kesihatan ibu dan anak.
"Penambahbaikan ini juga selaras dengan komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2026, yang menumpukan kepada peningkatan peruntukan penyelenggaraan hospital dan klinik serta pengukuhan perkhidmatan kesihatan primer di seluruh negara." katanya ketika berucap pada Program Hari Terbuka dan Pembukaan Semula Klinik Kesihatan Segambut, di sini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri Kesihatan Malaysia Mohammad Faisal Ismail.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya pencegahan melalui penglibatan komuniti, termasuk inisiatif PeKa B40 dan National Health Screening Initiative (NHSI) yang memberi peluang kepada rakyat menjalani saringan kesihatan percuma.
