fb fb fb fb fb

FAMA pastikan bekalan mencukupi semasa musim tengkujuh

Aminuddin Zulkipli (tiga dari kanan) ketika melawat gerai pada Karnival Jualan Agro MADANI 2025/ Foto FB Fama Negeri Terengganu

KUALA NERUS, 16 Oktober - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda beberapa negeri, tidak lama lagi.

Tumpuan diberikan kepada usaha memastikan bekalan hasil tani dan bahan makanan asas kekal mencukupi, walaupun berlaku gangguan ekoran banjir.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan berisiko banjir, serta menempatkan pusat simpanan stok bahan mentah di beberapa lokasi strategik.

"Kita sudah kenal pasti tempat-tempat yang berkemungkinan menjadi kawasan banjir dan mengambil langkah-langkah persediaan untuk menyediakan kawasan alternatif.

"Kita telah belajar daripada pengalaman-pengalaman yang lepas dan kali ini, kita lebih bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI @ Terengganu 2025 di Kompleks Majlis Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini.
 
Menurut Aminuddin, FAMA turut memperkukuh rangkaian logistik bagi menampung keperluan pasaran, sekiranya berlaku gangguan bekalan semasa banjir. 

MASNIZA AWANG KECHIK