fb fb fb fb fb

Perubahan 100 peratus di Kampung Belukut - Penduduk puji Kampung Angkat MADANI

Foto kecil: Asmadi Ahmad, Shahrulnizam Doimin dan Safree Ali

LABUAN, 16 Oktober- Inisiatif Kampung Angkat MADANI disambut baik penduduk kerana bukan sahaja membawa kemudahan dan pembangunan kepada komuniti kampung malah turut memperkasa penduduk, meningkatkan kesejahteraan serta memudahkan kehidupan harian mereka.

Salah satu kampung yang mendapat manfaat ialah Kampung Belukut di Labuan yang menerima peruntukan RM2.5 juta menerusi Belanjawan 2024.

Ketua Kampung Belukut, Asmadi Ahmad, berkata inisiatif itu telah membawa perubahan ketara.

"Alhamdulillah dengan projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Kampung Belukut telah banyak berubah. Sebelum ini, pembangunan kampung agak terbatas tetapi setelah diangkat sebagai Kampung Angkat MADANI, banyak kemudahan telah dibina seperti balai raya, dewan terbuka, gelanggang futsal dan pembaikan jalan kampung," kata Asmadi.

Penduduk, Shahrulnizam Doimin menyifatkan perubahan itu sangat membantu komuniti setempat.

"Peruntukan daripada kerajaan telah membawa perubahan 100 peratus. Harapan saya agar kerajaan terus memberi perhatian kepada kampung-kampung lain di Labuan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Safree Ali menambah bahawa bantuan kerajaan itu memberi impak positif.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI. Bantuan seperti ini memang sangat diperlukan dan wajar diperluaskan ke kampung lain," kata Safree.

Kampung Belukut merupakan Kampung Angkat MADANI pertama di Labuan dan kini menjadi model kejayaan pembangunan komuniti. Dengan kemudahan lengkap serta pelbagai program pembangunan insan, penduduk dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan bermakna.

Program Kampung Angkat MADANI termasuk Sejati MADANI, Sejahtera MADANI dan Sekolah Angkat MADANI akan diteruskan melalui Belanjawan 2026 bagi mengekalkan impak positif terhadap pembangunan komuniti.

SITI AISHAH BINTI MD ISA