KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Kos pembinaan sistem Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan ditanggung kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebaliknya menjelaskan, kos tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali lapangan terbang.
Penjelasan itu dibuat susulan beberapa gangguan teknikal yang berlaku sejak sistem Aerotrain mula beroperasi pada Julai lalu.
“Satu sen pun tidak datang daripada peruntukan kerajaan.
"Walaupun MAHB merupakan GLC milik kerajaan, syarikat itu tetap tertakluk kepada kawal selia melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat dan tindakan boleh diambil jika gagal memberi perkhidmatan berkualiti," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Setiu pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Parlimen.
Menurut Anthony, dalam tempoh tiga bulan, sebanyak 19 insiden gangguan direkodkan, namun kadar operasi kekal melebihi 99.2 peratus dengan lebih 5 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan tersebut.
Beliau turut memaklumkan sistem Aerotrain itu masih dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun, dan MAHB berhak mengenakan penalti ke atas kontraktor sekiranya mutu perkhidmatan tidak mencapai tahap ditetapkan.