MELAKA, 25 Ogos – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal menikmati kemudahan kesihatan lebih selesa apabila sebuah Klinik Kesihatan (Jenis 3) bernilai RM43.3 juta akan dibina di kawasan itu.
Projek berkenaan dijangka siap pada tahun 2027.
Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis, berkata klinik baharu itu menampilkan reka bentuk moden dengan pelbagai fasiliti, termasuk pusat rehabilitasi dan kemudahan lif.
Beliau yang juga ADUN Sungai Rambai menjelaskan, projek tersebut akan dibuka tender pada awal tahun hadapan, dengan keluasan tapak dianggarkan lebih tiga hektar.
“Pada masa ini, klinik kesihatan yang ada sudah tidak lagi sesuai menampung keperluan masyarakat, khususnya di Sungai Rambai yang mempunyai lebih 30 kawasan perumahan baharu. Selain itu, kedudukan Sungai Rambai yang bersempadan dengan Kesang (Muar) dan Kampung Tasik (Johor) turut menyebabkan penduduk dari kawasan berkenaan mendapatkan rawatan di sini. Justeru, pembinaan klinik baharu amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Selain itu, Datuk Siti Faizah memaklumkan projek naik taraf Dataran Riverside turut akan dilaksanakan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4 juta.