SHAH ALAM, 25 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan peluasan pemberian Baucar Buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada pelajar tingkatan enam sebagai usaha membantu persediaan mereka melanjutkan pengajian ke menara gading.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata mekanisme permohonan bagi pelajar yang layak akan diumumkan pada penghujung Oktober ini.
“Sebelum ini, baucar tersebut disasarkan kepada pelajar universiti. Namun, kali ini kita perluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam kerana mereka juga bakal memasuki universiti. Tempoh pengajian mereka lebih kurang setahun setengah, justeru wajar diberi peluang untuk membuat persediaan lebih baik sebelum menjejakkan kaki ke kampus,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan RM400,000 bagi program berkenaan pada tahun ini, dan tidak menolak kemungkinan jumlah peruntukan itu akan ditambah pada tahun hadapan mengikut keperluan.
Datuk Seri Amirudin berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan Enam Semester 1 di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, hari ini.
Bagi tahun ini, sebanyak RM894,750 diperuntukkan di bawah BAP, melibatkan 5,965 pelajar Tingkatan Enam di 37 Pusat Tingkatan Enam seluruh negeri.