fb fb fb fb fb

Jangan main isu kaum dalam agihan peruntukan - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum dalam agihan peruntukan, sebaliknya memastikan setiap golongan menerima manfaat mengikut keperluan.

Beliau berkata, polemik perkauman yang cuba ditimbulkan hanya menjejaskan keharmonian negara, sedangkan realitinya majoriti penerima bantuan masih terdiri daripada golongan miskin tanpa mengira bangsa.

"Jadi saya harap dengan penjelasan ini, kita kurangkan polemik kaum. Kita bekerjasama untuk meningkatkan siling negara dan kalau ada isu-isu, bawa dengan baik. Jangan dengar celoteh-celoteh orang desperate dan bankrap.

"Sekiranya naik isu kaum, kalau kuat nada orang India, akan menimbulkan dan mengundang reaksi daripada orang Melayu kerana orang Melayu majoriti di negara ini dan yang miskin majoritinya Melayu. Jadi sebab itu kita harus beri tumpuan.

"Kalau nak minta kemudahan masyarakat India, sila, tetapi jangan katakan pasal apa Melayu dapat. Saya sangat tidak senang dengan polemik sedemikian kerana ia memberikan satu gambaran seolah-olah orang Melayu tu sudah selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri turut mengambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan secara inklusif, hampir 57 peratus penerima adalah kaum Melayu, manakala Bumiputera Sabah 7.57 peratus dan Bumiputera Sarawak pula 6.23 peratus.

Pada masa sama, beliau berkata masyarakat India pula menerima bantuan melalui pelbagai saluran, termasuk STR dan SARA sebanyak RM972 juta dan jaminan perumahan RM2.5 bilion.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI