KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan menggubal Akta Antibuli menggunakan sistem kes tribunal yang membabitkan murid dan kanak, dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.
"Kita juga melihat bahawa ada kepentingan untuk terus memastikan bahawa kerjasama dengan bahagian hal ehwal undang-undang, akademi perundangan bagi memberikan kefahaman kepada pemimpin sekolah berkaitan akta 792 dan tanggungjawab pendidik dalam konteks 'In loco parentis' (ibu bapa gantian)," katanya.
Sidang Dewan Negara turut dimaklumkan, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid, kes salah laku buli yang direkodkan pada tahun 2023 adalah sebanyak 6528 kes, manakala, bagi tahun 2024 sebanyak 7681 kes.
Sehubungan itu, KPM juga sedang melaksanakan penggubalan baru kepada peraturan-peraturan pendidikan disiplin murid bawah Akta Pendidikan 1996.
Pendidikan Karakter juga akan diperkenal dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan pelaksanaannya dijadual bermula pada 2026.
"Penggubalan baru ini dilaksanakan bertujuan memperkukuh penguatkuasaan peraturan, selain memberi panduan yang lebih jelas kepada guru untuk mengurus kes salah laku disiplin dalam kalangan murid.
"Secara keseluruhannya, usaha memerangi kes buli ini harus terus didokong oleh semua pihak dan KPM yakin dengan usaha bersepadu sumber pihak gejala buli ni dapat kita tangani dengan lebih efektif dan secara berterusan,"katanya lagi.
Beliau turut memberikan perkembangan usaha pemantauan di semua sekolah di bawah pengurusan KPM bagi tujuan menangani kes buli dalam kalangan murid.
Antaranya, melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian.
"Begitu juga menambah baik SOP keselamatan sedia ada, khususnya yang berkait rapat dengan menangani keselamatan dan kes buli supaya relevan dengan keperluan semasa,melaksanakan reformasi sistem aduan buli yang lebih terperinci dan juga komprehensif, termasuk mengemaskini pengenalan fungsi aduan anonim tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
"Menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan dengan gabungan pakar akademik, badan bukan kerajaan dan pelbagai pihak lagi yang dilibatkan dalam jawatankuasa reformasi keselamatan ini.
"Begitu juga dengan penegasan-penegasan yang telah pun kita laksanakan, termasuk tiada kompromi dan isu boleh dan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir, guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang kita dapati melindungi kes-kes buli ni," katanya.