KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Sebanyak 27 cadangan projek pembangunan bernilai RM880.57 juta bagi Parlimen Rasah, Negeri Sembilan sedang diteliti Kementerian Ekonomi bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah yang menjawab bagi pihak Kementerian Ekonomi berkata, penilaian projek dibuat secara menyeluruh merangkumi impak sosioekonomi, keperluan setempat, kemampuan pelaksanaan serta keseimbangan pembangunan wilayah.
"Penilaian ini turut mengambil kira keutamaan strategik negara dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan di seluruh negara, keterangkuman rakyat, nilai untuk wang serta sejajar dengan keutamaan nasional yang digariskan dalam RMK13," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau memaklumkan, bawah Rolling Plan 5 RMK12, sebanyak 334 projek pembangunan bernilai RM11.54 bilion diluluskan di Negeri Sembilan, termasuk 28 projek khusus untuk Parlimen Rasah dengan kos RM924.43 juta.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia Fasa 2, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal Hospital Tunku Jaafar, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batang Labu serta perolehan peralatan bagi Pusat Kawalan Penyakit Negara.