KUALA LUMPUR, 23 Julai - Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan bawah inisiatif ‘Penghargaan Untuk Rakyat’ itu membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, terutamanya golongan yang berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
“Langkah ini memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna lebuh raya, khususnya golongan yang berulang-alik setiap hari dari rumah ke tempat kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), KL-Kuala Selangor (LATAR), Senai-Desaru (SDE), KL-Putrajaya (MEX), LPT2, DUKE, SKVE, NNKSB, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Sebagai timbal balik kepada penangguhan itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan menanggung pampasan melebihi RM500 juta kepada syarikat konsesi terlibat bagi memastikan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya kekal selamat serta berfungsi.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah namun dibuat dengan penuh tanggungjawab, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat.