KUALA LUMPUR, 23 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa 15 September 2025 (Isnin) diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Beliau berkata hari kelepasan itu bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.
"Ini mudah-mudahan dapat meningkatkan ukhuwah perpaduan dan mengingatkan kita kehebatan pemuka bangsa dalam mengusulkan pembentukan Malaysia negara tercinta", ujar Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia, hari ini.
Tahun ini, sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 September berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Sambutan Hari Malaysia yang diraikan setiap 16 September merupakan detik bersejarah penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dalam membentuk Malaysia pada tahun 1963.