fb fb fb fb fb

JAIS masih siasat program motivasi eHati

Program motivasi rumah tangga eHati dikatakan menyebarkan fahaman sesat kepada wanita bekerjaya yang menghadapi masalah perkahwinan

KEPALA BATAS, 23 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan berhubung program motivasi rumah tangga eHati yang kini sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, siasatan melibatkan dua bidang kuasa berbeza iaitu bawah Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah, dan pihak berkuasa sedang memperhalusi keterangan yang diperoleh daripada pelbagai saksi.

“Masih lagi berjalan, jadi kita tunggulah hasil daripada pihak polis dan JAIS. Siasatan melibatkan dua kesalahan; satu bawah jenayah sivil, satu lagi di bawah jenayah syariah.

"JAIS akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk meneliti perkembangan siasatan yang melibatkan saksi-saksi yang akan memberi keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Rumah di bawah Program Sinar Lestari YAPEIM di Pasir Gebu, Penaga, hari ini.

Setakat ini, siasatan telah merekodkan keterangan daripada 90 individu, termasuk peserta, fasilitator dan kakitangan syarikat yang terlibat dalam program berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial satu program motivasi rumahtangga anjuran sepasang suami isteri yang dipercayai melanggar prinsip syariah Islam, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE