SEREMBAN, 23 Julai - Umat Islam disaran agar berhati-hati dengan budaya baharu dari luar khususnya yang bercanggah dengan akhlak sebagai seorang seorang muslim kerana dikhuatiri boleh menjejaskan akidah jika mempercayai perkara yang tidak baik.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, trend yang mendedahkan keburukan diri sendiri dan berbangga dengannya perlu dijauhi terutamanya dalam kalangan generasi muda.
"Nasihat saya kepada umat Islam di Malaysia secara umumnya ialah agar kita sentiasa berhati-hati terhadap pendekatan atau unsur baharu yang dibawa masuk melalui budaya luar, terutamanya yang tidak selari dengan budaya Melayu dan bertentangan dengan akhlak.
"Hal-hal seperti ini dibimbangi boleh menjejaskan akidah sekiranya dipercayai atau diamalkan, khususnya jika ia mengandungi unsur yang tidak baik," katanya ketika diminta mengulas mengenai Trend S-Line yang ditiru secara terbuka dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.
Trend S-Line diinspirasikan daripada sebuah drama Korea yang mempercayai kekerapan seseorang melakukan hubungan intim dengan individu yang berlainan menerusi jumlah jalur merah yang tertera di atas kepala.
Terdahulu, beliau merasmikan Muzakarah Falak MABIMS 2025 yang mula bersidang hari ini, mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Seremban, Negeri Sembilan.