KUALA LUMPUR, 23 Julai - Kerajaan akan terus menambahbaik usaha menerusi Belanjawan MADANI keempat pada Oktober ini sebagai kesinambungan kepada usaha meringankan beban rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini mencatat pertumbuhan 4.4 peratus berdasarkan unjuran awal, suku kedua bakal mencecah 4.5 peratus, malah diakui turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Tambahnya lagi, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.
Manakala, bagi tahun sebelumnya, Malaysia mencatat pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 bilion, peningkatan 17 peratus ketimbang 2023 dan pencapaian tersebut diunjur terus melonjak pada tahun ini.
"Ringgit Malaysia kini mencatatkan pengukuhan melebihi lima peratus berbanding Dolar Amerika Syarikat, dengan kadar semasa pada RM4.23. Ini menjadikan ringgit antara lima mata wang terbaik di Asia ketika ini.
"Oleh itu, sebarang propaganda atau persepsi negatif mengenai nilai ringgit harus ditangani secara fakta, ringgit kita bukan lagi berada pada paras RM4.50 atau RM4.70 seperti yang pernah direkodkan sebelum ini dan prestasi ini akan terus kukuh demi kestabilan ekonomi negara," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pengumuman khas hari ini.