fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji peraturan wajib sahkan identiti pengiklan di media sosial

Sebanyak 121 iklan berunsur penipuan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah dikesan setakat tahun ini / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Sebanyak 121 iklan berunsur penipuan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah dikesan setakat tahun ini, menurut Kementerian Komunikasi.

Bagi menangani isu itu, kerajaan kini sedang mengkaji pelaksanaan peraturan baharu yang mewajibkan semua platform media sosial mengesahkan identiti pemilik iklan, sejajar dengan pendekatan yang telah dilaksanakan di negara lain seperti Singapura dan Taiwan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata inisiatif seperti pengesahan identiti pengiklan telah terbukti berkesan di beberapa negara dan menjadi rujukan kepada peraturan yang sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

2307 PAR TEO IKLAN TIPU 2Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching / Foto Bernama

“Sebagai contoh, di Taiwan dan Singapura, mereka mewajibkan platform media sosial mendedahkan identiti individu atau pihak yang membayar serta menaja sesuatu iklan.

“Sekiranya kajian mendapati langkah ini berkesan, kita akan mempertimbangkan untuk memasukkannya ke dalam kod peraturan baharu yang sedang dirangka oleh MCMC,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen yang meminta penjelasan mengenai tindakan kerajaan dalam mengekang penyebaran iklan penipuan, terutamanya yang menggunakan nama tokoh-tokoh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN