KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kementerian Kerja Raya (KKR) komited memastikan ekosistem industri pembinaan negara terus berkembang secara inklusif menerusi pelaksanaan dasar pembinaan negara 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan turut memberi tumpuan penglibatan kontraktor tempatan termasuk kontraktor kecil gred G1 hingga G4 dalam projek pembinaan dan penyelenggaraan.
"Sebagai contoh, KKR telah melaksanakan program mempercepatkan penyelenggaraan jalan dengan memanfaatkan kontraktor G1 hingga G4.
"Program ini bertujuan melantik kontraktor secara cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi. Ini termasuklah pelaksanaan cabutan undi bagi kontraktor kecil G1 hingga G4 di Langkawi," jelas beliau.
Ahmad Maslan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi mengenai dasar kementerian bagi memastikan penglibatan kontraktor tempatan khususnya dari Langkawi dalam projek-projek pembinaan dan penyelenggaraan.
Sejak Januari hingga Oktober 2025, sebanyak 76 projek swasta dan kerajaan dilaksanakan di Langkawi.
Daripada jumlah itu, 47.4 peratus iaitu 36 projek diperoleh kontraktor dari Langkawi.
Ia melibatkan kontraktor G3 bagi 11 projek, G4 tiga projek, G5 lima projek, G6 dua projek, dan G7 15 projek.