KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Kesemua 23 peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air sekitar 9.50 malam ini selepas berlepas dari Istanbul, Turkiye.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di akaun Facebooknya pagi ini.
"Kami dijangka tiba di sekitar 9.50 malam waktu Malaysia, insya-Allah," katanya dalam hantaran tersebut.
Beliau juga memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar perjalanan membawa pulang mereka ke tanah air malam ini dipermudahkan dan selamat.
Hantaran berkenaan turut dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Perdana Menteri yang juga selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara di akaun rasmi Facebook beliau.
Terdahulu, Ahmad Farhan menjelaskan bahawa beliau diamanahkan Perdana Menteri untuk segera membawa pulang semua aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan dengan selamat.
"Kepulangan mereka kelak bukanlah satu pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi menjadi lambang bagaimana negara kecil seperti Malaysia ini utuh prinsipnya dan mempunyai rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar," katanya.
Pada Khamis lepas, seramai 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Semua aktivis Malaysia dilaporkan dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan ialah Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).