fb fb fb fb fb

KKR akan mohon RM20 juta untuk bina R&R di LTU

FOTO BERNAMA

IPOH, 11 Oktober - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan RM20 juta untuk membina hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memohon peruntukan tersebut daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan R&R tersebut.

Jelas beliau, R&R berkenaan akan dibina di kedua-dua arah lebuh raya dalam daerah Bentong dengan kos bernilai RM10 juta setiap satu dan tapak pembinaannya telah dikenal pasti.

"Sekurang-kurangnya ada tempat membeli belah, makan minum beberapa buah dan perlu ada tandas dan satu lagi perlu tempat solat jadi tiga perkara ini," kata Ahmad Maslan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan di Laluan FT185 Seksyen 44.10, Jalan Simpan Pulai-Blue Valley, Daerah Kinta, di sini.

Tambahnya, satu tapak telah diputuskan untuk dibina R&R tersebut dan beliau yakin permohonan tersebut akan diluluskan.

Media sebelum ini melaporkan, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan melalui KKR dan Kementerian Ekonomi supaya mempertimbangkan semula pembinaan hentian R&R di LTU.

R&R di lebuh raya itu penting bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

TETITIA YUSOFF