fb fb fb fb fb

Hospital Bachok dijangka operasi November ini

Hospital Bachok dijangka mula beroperasi bulan depan akan memanfaatkan lebih 100,000 penduduk

BACHOK, 11 Oktober - Lebih 100,000 penduduk sekitar, di sini akan menikmati kemudahan kesihatan di Hospital Bachok yang dijangka mula beroperasi bulan depan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Husin berkata hospital itu mampu mengurangkan jumlah pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Beliau berkata Hospital Bachok akan menjadi rujukan kepada pesakit, malah penduduk sekitar juga tidak lagi perlu bergerak jauh bagi mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan diperlukan.

"Hospital Bachok ini akan beroperasi bermula November depan dan ia diharap akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, tetapi juga petugas-petugas kesihatan di hospital ini.

“Dengan siapnya Hospital Bachok, ia selaras dengan tema Rancangan Malaysia ke-12 iaitu memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan positif yang tidak mencukupi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini.

Beliau berkata projek membina dan menyiapkan baki kerja cadangan Hospital Bachok melibatkan 76 katil yang mengandungi blok hospital tiga tingkat.

"Terdapat dua bilik pembedahan, klinik-klinik pakar, tiga wad untuk pesakit lelaki, perempuan, ibu serta anak, selain adanya dewan bersalin, forensik, makmal, ruang dialisis, kecemasan, pengimejan, ruang sokongan, perubatan dan unit pentadbiran serta latihan,” katanya.

TETITIA YUSOFF