fb fb fb fb fb

KKM usaha dapatkan perolehan untuk vaksin COVID-19 varian baharu

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 13 September - Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin COVID-19 varian baharu, khusus untuk kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata vaksin versi baharu itu tidak diberikan kepada semua berikutan situasi COVID-19 di negara ini berada dalam keadaan stabil.

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Kita tidak akan membuat kempen secara besar-besaran seperti sebelum ini untuk pengambilan vaksinasi kerana kita dapati, golongan muda ini apabila dijangkiti COVID-19, gejalanya tidak teruk dan berkurangan apabila menerima dos tambahan.

"Vaksin ini kita fokuskan kepada golongan berisiko tinggi. Apabila keputusan untuk perolehan ini kita dapat, KKM akan umumkan, termasuk membabitkan perolehan vaksin kepada kanak-kanak bawah lima tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Records dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination, di kementeriannya, di sini.

Tambah Khairy, Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Pediatrik sudah diminta untuk mengunjurkan data pesakit komorbid dan kanak-kanak berisiko di negara ini.

"Data itu membolehkan kita mendapatkan vaksin yang secukupnya kerana kita tidak mahu mengulangi membuat pesanan melebihi kegunaan seperti yang berlaku pada vaksin jenis Pfizer dan COVAX.

"Pemberian vaksin ini adalah percuma. Bagi kanak-kanak bawah lima tahun, ia mungkin diberikan melalui KKM iaitu di wad pediatrik," katanya.

Media Baharu